Tuesday, 6 August 2019

Travelog#15 - Masjid Nabawi

Masjid Nabi saw

Masjid Nabawi adalah masjid kedua yang dibangunkan oleh Rasulullah saw setelah berhijrah dari kota Makkah. Masjid yang pertama ialah Masjid Quba. Solat di dalam masjid Nabawi dapat 1000 ganjaran pahala. Kiblat mengadap ke arah selatan. Stukturnya adalah yang paling canggih di dunia.

Penulis check in hotel pada 1.30 am. Subuh di sini pukul 5.18 am. Jadi kalau tidur memang payah nak bangun. Kalau bangun sekalipun mungkin solat di hotel je la. Tapi penulis memang nekad, nak jugak solat berjemaah untuk pertama kalinya di masjid nabawi ni sejurus menjejakkan kaki ke bumi Madinah. Pagi nanti selepas sarapan memang ada ziarah makam Nabi saw dalam masjid nabawi bersama mutawif.

Tapi tu pagi nanti, sekarang lain cerita. Setelah mengemas dan buka semua beg baju, penulis mandi dan bersiap untuk ke masjid. Jam menunjukkan pukul 3.00 am. Masih awal lagi, tapi penulis dah tak sabar untuk melangkah masuk ke dalam masjid. Penat, letih, lesu, mengantuk tapi penulis tak peduli semua itu.

Masjid Nabawi
Dengan berpakian jubah dan kopiah buruk, penulis turun dari bilik, keluar dan berdiri di depan hotel. Suhu agak sejuk, tengok yahoo weather di telefon menunjukkan suhu Madinah sekarang adalah 16 celcius. Biar betul? Dengan penuh rasa takjub, berdebar, teruja, hiba dan bermacam lagi, seorang diri perlahan-lahan memulakan langkah dengan lafaz bismillah dan menuju ke Masjid Nabawi.

Semakin dekat, semakin berdebar. Dari jauh lagi dah nampank menara masjid. Masjid yang begitu indah yang selama ini hanya mampu di lihat di kaca tv, tetapi hari ini berada gah di depan penulis. Semasa berjalan menuju ke arah Masjid, fikiran hanya kosong, tak tahu nak pikir apa. Patut rasa gembira? Sedih? Insaf? Entahlah...

Dataran masjid

Payung gergasi
Suasana damai pukul 3.00 am
Akhirnya, penulis mematikan langkah terakhir. Penulis berdiri betul-betul di depan pintu besar. Sekali lagi dengan lafaz Bismillah dan langkah kanan, perlahan-lahan kaki ni melangkah masuk ke dalam masjid. Masih susah nak percaya, penulis berdiri di dataran masjid kedua paling suci setelah Kaabah. Masjid yang dibina oleh tangan Rasulullah sendiri. Tak tergambar dengan kata-kata.

Begitu indahnya masjid ini. Tenang, damai dan nyaman. Itu baru di dataran, belum lagi masuk ke dalam. Kesemua payung masih belum dibuka, jadi penulis memang boleh melihat menara masjid. Ada 10 menara kesemuanya. Bercahaya, gagah dan tinggi. Masjid ni memang besar boleh menampung sehingga 800 ribu jemaah. Ada banyak pintu masuk ke dataran, penulis tak kira berapa tapi memang banyak. Itu belum lagi campur pintu masjid.

Di Dalam Masjid


Setelah puas melihat di dataran, penulis melangkah masuk ke dalam masjid. Jiwa ni terasa seperti disentap. Memang menggagumkan. Luasnya masjid ni, saujana mata memandang. Tak mampu di ungkap dengan kata-kata. Dalam tak sedar rupanya pipi penulis dibasahi dengan air mata. Penulis menangis, terasa hiba dan sedih teramat sangat. Tapi peduli apa, kalau basah satu badan pun takpa. Jasad ini tiba-tiba merasa berada begitu dekat dengan Nabi saw.

Saujana mata memandang

Dalam masjid ada banyak tiang dengan hiasan antik dan khat yang cukup cantik. Dari lantai, dinding, siling semuanya dihiasai dengan begitu indah. Penulis jadi begitu jakun macam orang tak pernah tengok masjid. Kilauan cahaya lampu kristal menyerikan lagi masjid ini, tambahan pula pantulan cahayanya terkena lantai. Seluruh lantai berwarna putih, sama juga dataran. Ruang solat diletakkan karpet berwarna merah.

Aircon

Sistem penghawa dingin Masjid Nabawi adalah antara yang tercanggih di dunia. Dalam masjid ni setahu penulis takde kipas kecuali di dataran. Aircon akan melalui dan keluar di setiap kaki tiang. Memang sejuk dan dingin walaupun semasa solat berjemaah dan cuaca panas. Jumlah tiang di Masjid ni adalah 2104. Dan setiap satu ada saluran AC. Sistem AC ni terletak diluar Masjid, kemudian disalurkan melalui paip bawah tanah. Untuk memahani bagaimana AC raksasa ni berfungsi boleh lihat disini https://www.youtube.com/watch?v=Go7s2L9oQBI

Angin AC keluar melalui ventilation di kaki tiang
Di setiap tiang juga ada disediakan rak kasut dan selipar. Kita dibenarkan bawa masuk selipar ke dalam masjid. Al-quran wakaf juga ada di setiap penjuru ruang solat dan tiang.

Parking Bawah Tanah

Jangan terkejut, Masjid ni ada parking basement bertingkat yang boleh memuatkan kira-kira 4500 buah kereta. Cara nak turun ke basement ni melalui tangga atau escalator yang disediakan di dataran. Ada banyak di sekeliling Masjid. Cari je toilet, tangga ni dalam bangunan yang sama. Ada ditulis tanda P, boleh turun dari situ. Atau boleh juga menggunakan lift.


Kereta akan keluar dari Masjid ke jalan-jalan utama. Ada banyak exit, 6 pintu kesemuanya.

Air Zam-Zam

Air Zam-zam

Dalam masjid ada banyak tong air zam-zam. Ada sejuk dan suam. Kalau nak suam cari tong yang tertulis 'Not Cold'. Boleh minum banyak mana pun dengan gelas yang disediakan. Gelas pakai buang, lepas minum letakkan gelas di dalam corong kiri. Semasa penulis berada di masjid, orang belum ramai lagi. Bolehla duduk situ dan merasa air zam-zam sepuasnya. Jam di tangan menunjukkan pukul 4.00 am.

Masih ada sejam lebih sebelum subuh. Penulis keluar semula ke dataran, masih belum puas mata ni untuk melihat. Tetapi penulis tak sempat tawaf keliling masjid kerana dah dekat waktu subuh. Nampak dah ramai orang mula datang ke masjid. Tambahan pula masjid ni amat luas dan besar. Boleh berpeluh satu badan kalau cukup satu keliling. Esok masih ada, mungkin ada masa lagi untuk penulis meninjau setiap inci masjid ni.

Di pintu keluar ada disediakan paparan LED untuk info solat
Dah hampir waktu subuh, penulis masih lagi tak tahu nak solat di bahagian mana. Masjid ni sungguh luas, teramat luas. Semuanya nampak sama sahaja. Penulis terus melangkah masuk jauh ke dalam. Ternampak ada payung yang sudah dibuka. Eh...payung dalam masjid? Pelik...penulis terus cari saf dan duduk beriktikaf disitu. Orang dah mula ramai. 15 minit lagi bang subuh.

Keluasan Asal Masjid

Bangunan kubah hijau seolah terpisah dengan masjid
Payung gergasi dekat dengan kubah hijau
Di depan penulis ada bangunan yang lain sikit seolah terpisah dari masjid. Designnya tak sama, tiang pun tak sama, banyak lampu gantung. Sungguh cerah kawasan tu. Orang memang ramai kat situ, boleh dikatakan saf memang dah penuh. Kat atas tu ada kubah hijau. Rupanya penulis solat dekat dengan maqam Nabi saw. Di bawah kubah hijau tu la letaknya maqam Baginda saw.

Dan bangunan sekitar kubah tu adalah bangunan dan keluasan asal masjid di zaman rasul. Patutla lain sikit. Kat situ jugalah terletaknya Raudhah, taman syurga antara rumah Nabi dan mimbar. Dalam bangunan tu ada banyak tiang, sama tapi tak serupa. Ada tiang yang ditanda logo khat berwarna hijau dibahagian atas sekali seperti gambar dibawah.

Tiang yang menunjukkan keluasa asal masjid nabawi
Itulah sempadan asal masjid pada zaman Nabi iaitu sekitar tahun 17 hijrah. Kecil sahaja, boleh menampung beberapa ratus jemaah sahaja pada suatu masa. Tiang yang lain tidak bertanda seperti gambar dibawah ni.

Banyak lampu gantung di sini
Masjid di zaman Rasul saw hanya berlantaikan tanah, tak berbumbung dan keluasannya kecil sahaja. Bangunan yang ada di sekitar masjid adalah rumah Rasul, isteri dan anak-anak Baginda saw. Tiang pula dari batang pokok kurma. Atap dilapik dengan pelepah kurma. Begitulah keadaan masjid Rasulullah.

Bentuk asal Masjid Nabawi
Setelah selesai solat subuh, penulis bangun untuk balik ke hotel. Toleh je ke belakang, terkejutnya tengok begitu ramai jemaah yang datang solat subuh. Penulis solat di bahagian depan masjid jadi tak perasan yang dibelakang memang penuh dengan jemaah. Kagum seketika, fenomena yang hanya boleh dilihat di Madinah dan Makah.

Kalau kat Malaysia, nak penuhkan satu saf tu pun payah, tambahan pulak solat subuh. Memang terasak-asak jugalah nak keluar dari pintu. Keluar je penulis tengok kesemua payung dah terbuka. Memang nak sangat tengok live payung tu buka sampai habis. Takpa...masih ada 4 hari lagi peluang. Payung ditutup bila malam, dan dibuka waktu subuh.

Suasana selepas subuh
Sampai je di pintu hotel terus naik ke dewan makan untuk sarapan. Sempat juga bersembang dengan jemaah yang satu kumpulan dengan penulis. Rupanya ramai yang solat subuh di hotel. Mungkin mereka kepenatan setelah berjalan jauh. Dari KL-Jeddah 9 jam, Jeddah-Madinah 5 jam.

Total 14 jam tanpa henti. Itu belum dikira aktiviti yang mereka buat sebelum berlepas dari KL. Mungkin ada yang masih berkerja atau tak lena tidur sehari sebelum kerana terlalu excited. Memang patut pun kalau letih.


4 comments:

  1. terima kasih di atas usaha tuan menyiapkan catatan yang lengkap ini...seronok sangat baca..semoga saya dan suami juga dijemput Allah ke sana nanti.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih tuan kerana berkongsi pengalaman. Sgt bermanfaat kpd sy dn pembaca lain yg akn pertama kali menunai kn umrah.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum. Terima kasih tuan atas perkongsian perjalanan cerita sepanjang mengerjakan umrah. Walaupun catatan tuan 2015 tapi terubat rindu saya terhadap kota suci walaupun baru pergi Mac 2018 yang lalu. Terlalu banyak kenangan manis di sana. Terlalu rindu. Tak dapat nak ungkapkan perasaan rindu tersebut. Saya tak pandai menulis seperti tuan untuk menyimpan kenangan jadinya kodek punye kodek terjumpa catatan tuan di google. Allah, terima kasih byk. Melalui catatan tuan ini, terbayang segalanya di sana. Walaupun berbeza 3 tahun, suasana di Madinah tetap sama. Kedamaian dan ketenangannya tetap sama. Moga kita sama-sama diberi rezeki dan kesempatan untuk menziarahi Rasulullah SAW lagi. InsyaAllah.

    ReplyDelete
  4. Subhanallah perkongsian yang amat berinformatif....semoga saya dan isteri selamat pergi pada Mac ini

    ReplyDelete