Tuesday 6 August 2019

Travelog#27 - Tiba di Makkah

Makkah Al Mukarrahmah

10 minit sebelum sampai mutawif kami dah kejutkan semua jemaah. Masuk je kota Makkah dah boleh nampak menara jam besar. Kat situlah letaknnya Kaabah. Kami tiba di kota Makkah lebih kurang pukul 11pm. Bas kami parking betul-betul di depan hotel Hilton. Sebenarnya kami tak tahu pun kat mana hotel ni, bas berhenti tepi jalan. Ada banyak bangunan tapi boleh nampak dah menara Masjidil Haram. Lepas tu pegawai andalusia bernama Haji Faiz naik dalam bas, pegang mic dan memberi ucapan selamat datang.

Bas berhenti di depan pintu hotel
Dia bagitau, kami sekarang berada di hadapan hotel. Dia ada bagi sikit maklumat tentang selok belok hotel Hilton, macam mane servisnya, kat mana dewan makan, bilik dan lain-lain. Tapi yang penulis ingat dia ada pesan, jangan makan apa-apa pun coklat atau air kotak dalam bilik hotel. Semua tu nanti kena caj 6 riyal setiap satu. Dia jugak kata, jangan guna wifi nanti kena caj 75 riyal masa check out nanti.

Kami kemudian diberi kunci bilik masing-masing. Jemaah diberi masa lebih kurang sejam untuk naik ke bilik hotel, letak beg dan bersiap untuk melakukan tawaf dan saie. Kenapa mutawif kami buat malam tu jugak? Tak boleh tunggu esok ke, kami semua penat. Sebabnya kami semua dalam ihram dan berpantang, jadi kalau buat esok takut nanti ada yang langgar pantang menyebabkan uamrahnya tak sempurna atau kena bayar dam.

Nanti ada yang tidur selimut satu badan, mandi yang menyebabkan bulu badan gugur, potong kuku, terpakai wangi-wangian (termasuk guna syampu semasa mandi). Perbuatan ni kadang-kadang tak sengaja tetapi tetap dikira satu kesalahan. Jadi kami diarahkan berkumpul di ruang lobi pada pukul 1am malam tu juga.

Sedikit sejarah tentang Makkah

Jika nak buat umrah atau haji, Makkah adalah bandar yang WAJIB dikunjungi oleh orang islam kerana disini terletaknya bangunan Kaabah. Di sini juga merupakan arah kiblat ummat islam ketika menunaikan solat. Bangunan Kaabah dibina oleh Nabi Adam as. Kemudian Kaabah dibina semula oleh Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as. Semasa pembukaan kota Makkah pada tahun 9H oleh Nabi Muhammad as, berhala-berhala yang terdapat didalam bangunan Kaabah dihancurkan. Bermula dari saat itulah Kaabah terus dijaga oleh orang islam sehingga sekarang.



Makkah dikenali sebagai tanah haram, maknanya diharamkan orang bukan islam dari memasukinya. Tanah haram juga mengandungi hukum khusus yang perlu diamalkan berbeza dengan kawasan-kawasan lain. Rasulullah saw bersabda:

إن هذا البلد حرمه الله يوم خلق السموات والأرض فهو حرام يحرمه الله تعالى إلى يوم القيامة وإنه لم يحل القتال فيه لأحد قبلي ولم يحل لي إلا ساعة من نهار فهو حرام بحرمة الله تعالى إلى يوم القيامة لا يعضد شوكه ولا ينفر صيده ولا يلتقط لقطته إلا من عرفها ولا يختلى خلاة فقال العباس يا رسول الله إلا الإذخر فإنه لقينهم وبيوتهم ، فقال صلى الله عليه وسلم إلا الإذخر
(رواه مسلم)

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengharamkan negeri ini semenjak Dia menciptakan langit dan bumi. Negeri ini diharamkan oleh Allah sampai Hari Kiamat kelak. Sebelumku, sesiapun tidak dihalalkan berperang di negeri ini. Bahkan aku sendiri juga tidak dihalalkan melakukan hal yang sama kecuali sesaat di siang hari. Negeri ini diharamkan oleh Allah sampai Hari Kiamat nanti. Pohonnya yang berduri tak boleh ditebang, haiwan buruannya tidak boleh dibunuh, dan barang cicirannya tidak boleh dikutip melainkan oleh orang yang mahu mengumumkan saja, dan rerumputannya tidak boleh dicabut atau dipotong. Al-'Abbas berkata: "Kecuali rumput lalang, wahai Rasulullah, kerana ia sangat bermanfaat bagi manusia", Rasulullah saw bersabda: "Ya kecuali rumput al-izkhir (sejenis tumbuhan yang harum baunya)." (Hadits riwayat Muslim)



Batas-batas atau sempadan tanah haram Makkah ialah: 

1. Dari arah Madinah ialah sejauh kira-kira 3 batu atau 4.5 kilometer. Sempadan ini terletak di kawasan Bani Nifar ataupun as-Syuqya. Pada masa ini tempat tersebut dikenali dengan nama Masjid A’isyah. 

2. Dari arah Yaman pula ialah sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5 kilometer, iaitu di sebelah kawasan Ada’at Libnin dalam kawasan Tsaniyah Libnin.

3. Dari arah Iraq pula ia terletak sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5 kilometer dari Makkah berhampiran dengan bukit di al-Muqatar ataupun al-Muqta’.

4. Dari arah Tha’if dan dari pertengahan Lembah Namirah yang terletak di pertengahan jalan ke ‘Arafah adalah terletak sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5 kilometer dari Makkah, bersebelahan dengan ‘Arafah.

5. Dari jalan arah Ji’ranah adalah terletak sejauh kira-kira 9 batu atau 13.5 kilometer iaitu di Shu’aib al-Abdullah bin Khalid.

6. Dari arah Jeddah pula ialah sejauh kira-kira 10 batu atau 15 kilometer dari Makkah iaitu di Muntaqi’ ‘Ash’ash.

7. Dan dari Bathni ‘Uranah pula adalah sejauh kira-kira 11 batu atau 16.5 kilometer. (lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 3/2390-2394)

Adapun ‘arafah sebuah bukit yamg tingginya lebih kurang 220 meter dari paras laut dan terletak dalam jarak kira-kira 25 kilometer di Tenggara Makkah. Ia tidak termasuk di dalam kawasan tanah haram. Imam an-Nawawi ada menjelaskan, katanya: واعلم أن عرفات ليست من الحرام Ertinya: Dan ketahuilah bahawasanya ‘Arafah itu bukan termasuk di dalam kawasan tanah haram. (Al-Idhah fi Manasik al-Hajj: 147) 

Manakala Mina merupakan sebuah kampung yang terletak sejauh kira-kira 7 kilometer dari Makkah dan Muzdalifah pula suatu kawasan yang terletak di antara Mina dan ‘Arafah. Muzdalifah termasuk di dalam lingkungan tanah haram.


Sempadan Tanah Haram Makkah

Tanah Haram Makkah ialah jarak yang melindungi Masjidil Haram dari segenap penjuru. Allah s.w.t. menjadikan hukum Tanah Haram sama dengan Makkah sebagai memuliakannya. Tanah Haram ini telah diharamkan oleh Allah s.w.t. semenjak dijadikan bumi hinggalah ke hari kiamat. Sempadan Tanah Haram memang patut di ketahui kerana ia berkaitan dengan beberapa hukum khas . Hukum Tanah Haram ini telah ditentukan oleh Allah s.w.t. semenjak bumi dijadikan dan ia berkekalan sehingga hari kiamat. Lantaran itulah, Makkah telah menjadi perhatian umat Islam sejak dahulu lagi.

Orang yang pertama dikatakan membuat tanda sempadan Tanah Haram ialah Nabi Ibrahim a.s. berpandukan petunjuk daripada Jibrail a.s. Selepas pembukaan Kota Makkah, Rasulullah s.a.w. telah melantik Tamim bin Asad al-Khuza’I r.a. agar memperbaharui tanda sempadan Tanah Haram.

Selepas itu khalifah dan pemerintah Makkah sentiasa memperbaharui a’lam (tanda) Tanah Haram di setiap penjuru, di atas bukit dan tempat tinggi, begitu juga di lembah. Ada yang masih kekal dan ada yang telah rosak. Bilangan tanda yang dibuat telah mencecah sehingga 934 tanda, sebagaimana yang di catat oleh Dr. Abdul Malik bin Abdullah bin Duhais dalam tesis Ph.D nya yang bertajuk ‘Al-Haram al-Makki al-Syarif wa al-A’lam al-Muhithah bihi.

Pembaharuan terakhir dilakukan pada tahun 1422H, pada zaman Khadimul Haramain al-Malik Fahd bin Abdul Aziz. Kawasan Tanah Haram Makkah panjangnya ialah 127 km dan keluasannya ialah 550 km dan 300 meter persegi. Di sini dinyatakan anggaran jarak di antara Masjidil Haram dengan beberapa sempadan Tanah Haram. Jarak ini sentiasa berubah-ubah mungkin disebabkan oleh faktor perubahan jalan, atau ikhtilaf dalam menentukan ukuran. Pada zaman dahulu, ukuran yang digunakan ialah mile (batu) hasta dan sekarang pula ialah meter dan kilometer.


1. Al-Tan’im Iaitu jalan keluar menuju ke Madinah. Ia terletak berdekatan dengan Masyid Sayidah Aishah r.ha. Jaraknya ialah 7.5 km. 

2. Adhaat Libn Kini dikenali dengan nama Uqaisyiah, iaitu jalan menuju ke arah Yaman. Jaraknya ialah 16 km.

3. Al-Syara’i Terletak pada jalan menuju ke masjid Ji’ranah. Jaraknya ialah 16 km. 

4. Al-Hudaibiyyah Iaitu jalan lama menuju ke Jeddah. Jaraknya ialah 22 km. Jalan baru sekarang dikenali dengan nama al-Syumaisi.

5. Jabal Namirah (Zat al-Sulaim) Jaraknya ialah 22 km mengikut jalan raya dan 15 km mengikut jalan lurus pejalan kaki (pesestrian).


Manakala sempadan Tanah Haram dengan tanah halal di Arafah (tempat wuquf) dikenali melalui tanda-tanda yang banyak dibina di Wadi ‘Uranah. Allah s.w.t. telah menjadikan seluruh kawasan ini sebagai kawasan yang aman dan menjadi tempat tumpuan manusia. Firman Allah bermaksudnya: ‘Sesiapa memasuki Tanah Haram, maka dia akan mendapat keamanan’. Allah memberi ancaman kepada mereka yang cuba melakukan kejahatan (ilhad) di dalam Tanah Haram dengan firman-Nya yang bermaksud ‘Dan sesiapa yang berniat (belum melakukannya) untuk melakukan ilhad (kezaliman dan kejahatan) di Tanah Haram, nescaya Kami rasakan kepadanya sebahagian daripada seksaan yang pedih’. Allah akan menimpakan azab ke atas mereka yang berniat untuk melakukan kejahatan di Tanah Haram. Kata Ibn Mas’ud r.a.: “Tiada tempat yang seseorang itu dikira bersalah dengan hanya bercita-cita untuk melakukan sesuatu kejahatan sebelum melakukannya, kecuali di Makkah."

No comments:

Post a Comment